I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, August 9, 2010

IMPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KEPADA PENGAJARAN

Mengikut Noriati, Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), antara implikasi teori konstruktivisme ini kepada proses pengajaran ialah guru hendaklah bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teliti serta mengambil kira segala aspek yang berkaitan dengan keupayaan murid. Hal ini adalah kerana segala pembelajaran yang dilakukan adalah lebih berpusat kepada murid di mana murid belajar melalui segala proses membuat atau beraktiviti yang dijalankan oleh guru semasa di dalam kelas. Jadi, hal-hal yang berkaitan dengan keupayaan murid adalah sangat ditekankan kerana sekiranya hampir kesemua murid di dalam sesuatu kelas itu tidak mampu menguasai sesuatu proses pembelajaran, maka, proses pembelajaran yang dilakukan oleh guru itu adalah tidak berjaya sama sekali.

Selain itu, implikasi lain bagi teori konstruktivisme ini ialah guru haruslah dapat mengenal pasti Zon Perkembangan terdekat ( ZPD ) atau juga dikenali sebagai Zon Perkembangan Proksimal dalam diri murid-murid berdasarkan beberapa aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Hal ini bertujuan untuk mengetahui tahap murid tersebut sama ada berada di zon bawah ataupun zon atas. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru mencari pendekatan yang bersesuaian untuk membantu murid menguasai sesuatu sesi pembelajaran.

Menjadi tanggungjawab guru-guru juga untuk memilih beberapa orang murid yang lebih berkemahiran untuk mengajar murid lain yang belum lagi menguasai sesuatu proses pembelajaran. Bantuan daripada rakan-rakan yang lebih mahir adalah sangat membantu kerana berkemungkinan besar murid yang tidak mahir itu lebih selesa diajarkan oleh rakan-rakan yang lebih dikenali dan mesra. Kanak-kanak juga sebenarnya adalah lebih mudah memahami sesuatu perkara itu apabila dibimbing oleh rakan sebaya mereka jika dibandingkan dengan guru.

Di samping itu, implikasi bagi teori ini juga ialah guru haruslah menyediakan lebih banyak contoh dan bahan sumber yang boleh digunakan untuk membantu murid membuat perkaitan dengan isi pelajaran yang dipelajari. Hal ini secara tidak langsung akan membantu murid-murid tersebut membina pemahaman baharu yang belum lagi diketahui atau dikuasai oleh mereka. Lebih banyak contoh dan bahan sumber ditunjukkan kepada murid-murid, lebih banyak pengetahuan dapat dikuasai oleh seseorang murid itu.

Guru juga seharusnya mengaitkan isi pelajaran yang diajarkan kepada murid dengan situasi sebenar. Apabila sesuatu isi pelajaran itu dikaitkan dengan situasi sebenar, murid secara tidak langsung akan lebih memahami sesi pengajaran yang disampaikan oleh guru. Jadi, tugasan autentik yang berasaskan masalah alam nyata, pengalaman berasaskan konteks sebenar, aktiviti simulasi dan sebagainya bolehlah dijalankan oleh guru ketika di dalam kelas.

Seterusnya,gerak kerja kumpulan dan perbincangan kumpulan merupakan salah satu strategi yang baik sekali bagi mewujudkan interaksi yang berkualiti dalam kalangan murid-murid. Melalui aktiviti perbincangan dalam kumpulan, murid secara tidak langsung dapat berkongsi idea, mendapat pemahaman yang lebih jelas daripada rakan-rakan yang lebih mahir serta dapat meluahkan buah fikiran mereka. Perbincangan dalam kumpulan juga dapat mewujudkan hubungan yang erat dalam kalangan murid-murid kerana setiap murid berpeluang memberikan idea serta pandangan masing-masing.

Implikasi teori ini yang terakhir sekali ialah guru haruslah sentiasa memberikan penerangan yang jelas kepada murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penerangan yang jelas ini adalah sangat penting kepada murid-murid kerana tanpa penerangan yang jelas, murid berkemungkinan akan menyalahtafsir arahan atau kehendak guru. Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan sesi pengajaran tidak berjalan dengan lancar. Maka, penerangan guru haruslah jelas, selaras dengan pemikiran dan laras bahasa murid. Guru juga adalah digalakkan sama sekali untuk menyertakan pelbagai contoh ketika sesi perbincangan bersama murid.


No comments:

Post a Comment