I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, August 9, 2010

SEJARAH TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVIS



Sejarah teori ini dinyatakan dalam laman sesawang www.scribd.com oleh Ami Sakura iaitu teori ini bermula semasa Revolusi Kognitif 1960. Ia bertujuan mengubah teori pembelajaran yang berasaskan teori behavioris yang dipelopori oleh Ivan, Skinner dan Thondike.

Perkembangan teori pembelajaran konstruktivis dimulakan oleh pengasas teori ini ialah Ciambasstista Vico iaitu seorang pakar epistemologi dari Itali. Konstruktif kognitif muncul akibat penulisan Mark Baldwin dan disebarkan oleh Jean Piaget. Konstruktivis turut mempunyai ramai pengikut. Antaranya Forman dan Pullfal(1988),Newan,Griffin dan Cole (1989),Reninck (1989) dan Vygotsky (1978).

Ami Sakura. Sejarah Teori Konstruktivis. Diperoleh http://www.scribd.com/doc/19784811/konstruktivisme (2010,30 Ogos)

DEFINISI KONSTRUKTIVIS MENGIKUT PANDANGAN TOKOH

Mengikut Briner (1999) dalam laman sesawang www.scribd.com,pembelajaran secara konstruktivisme berlaku di mana pelajar membina pengetahuan dengan menguji idea dan pendekatan berasaskan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya pada satu situasi baru dan mengintegerasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.

Manakala mengikut Mc Brien dan Brandt (1997), konstruktivisme adalah satu pendekatan pembelajaran berasaskan kepada penelitian tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan peneliti berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain.

Brooks dan Books (1993) pula menyatakan konstruktivisme berlaku apabila pelajar membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru pada apa yang mereka telah faham sebelum ini.

Sushkin (1999) pula menyatakan penekanan diberikan pada pelajar lebih daripada guru. Ini kerana pelajar yang bertindak balas dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pelajar membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Pada teori ini, menekankan pada pelajar untuk mencari cara sendiri untuk setiap penyelesaian masalah sehingga dapat ditemukan cara yang sesuai dengan dirinya.

Definisi konstruktivis.[online] Diperoleh daripada http://www.scribd.com/doc/10331287/konstruktivisme (2010,27 Ogos)

Who was VYGOTSKY

TOKOH: LEV SEMENOVICH VYGOTSKY





Sejarah hidup Lev Vygotsky bermula ketika beliau dilahirkan pada tahun 1896 dan meninggal dunia pada tahun 1934. Beliau merupakan seorang psikologi berbangsa Rusia. Beliau juga seorang guru dan sarjana sastera. Beliau mendapatkan pendidikan awal daripada ibunya sendiri yang merupakan seorang guru dan mempunyai seorang tutor peribadi yang bernama Solomon Ashpiz. Beliau turut mendapat pengaruh dari sepupunya David Vygotsky. Beliau meneruskan pengajian sekolah menengahnya di sebuah sekolah persendirian. Menamatkan pengajian sekolah menengahnya dengan anugerah medal emas. Beliau menamatkan pengajian di Moscow State University pada 1917. Setelah tamat pengajian, beliau bekerja di beberapa tempat. Antaranya ialah Institut Psikologi pada pertengahan 1920 dan di beberapa pusat pendidikan di Moscow, Lerningrad dan Kharkow di mana beliau bekerja keras menyatakan ideanya tentang perkembangan kognitif.

Karya, idea dan nama Lev Vygotsky telah diharamkan oleh Joseph Stalin yang memerintah Russia pada masa itu. Selama lebih 20 tahun karya dan idea Vygotsky tidak dibenarkan disebarkan di khalayak ramai.. Para ahli psikologi telah mengangkat semula idea-idea Vygotsky dan memperkenalkan di bidang psikologi dunia sehingga ke hari ini. Beliau percaya bahawa perkembangan kognitif dipengaruhi oleh faktor persekitaran sosial dan budaya. Melalui interaksi sosial dengan ibu bapa, guru, rakan, orang dewasa lain, sekolah dan sebagainya. Bayi lahir dengan beberapa “fungsi asas mental” (elementary mental function), iaitu perhatian, sensasi, persepsi dan memori. Vygotsky sangat dikenali sebagai seorang ahli psikologi pendidikan yang memperkenalkan teori sosiobudaya.Teorinya ini juga menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak bergantung kepada interaksi kanak-kanak dengan orang ada di sekitarnya yang menjadi alat penyampaian sesuatu budaya yang membantu mereka membina pandangan tentang sekelilingnya. Beliau telah menulis buku tentang ‘Pemikiran dan Bahasa' dan ‘Fikiran Masyarakat’.


DEFINISI KONSTRUKTIVITIS

Mengikut Noriati,Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), konstruktivisme bermaksud pembinaan pengetahuan. Individu sentiasa membina pengetahuan sendiri berdasarkan premis pengetahuan atau pengalaman sedia ada kepada pengetahuan atau pengalaman baru.

Konstuktivis memberi idea-idea baru tentang pertumbuhan kognitif dan pembelajaran. Konstruktivis menerangkan bagaimana pengetahuan baru disusun dalam minda manusia. Penekanan diberikan mengikut keperluan manusia membina pemahaman tentang sesuatu konsep. Pendekatan ilmu pembelajaran diperolehi dengan melalui pengalaman, renungan dan pengabstrakan.

Noriati A.Rashid. Boon Poon Ying. Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Oxford Fajar. Selangor

PRINSIP KONSTRUKTIVITIS

Prinsip konstruktivitis daripada laman sesawang scribd.com yang ditulis oleh Roszelan menyatakan pengetahuan dibina secara aktif oleh pelajar. Pelajar bukan penerima pasif pengetahuan.

Pelajar pembina aktif strukutur pengetahuan
iaitu bukan pengisian otak kosong pelajar dan bukan tentang pemerolehan idea baru Tetapi tentang pelajar membina atau merubah idea mereka yang sedia ada. Pelajar membina pengetahuan sains yang baru dengan cara mereflek tindakan fizikal dan mental mereka. Pelajar cuba mendapat pemahaman tentang pengalaman baru mereka da fenomena degan cara membentuk atau membina makna tentang perkara tersebut.

Pelajar perlu asimilasikan idea baru atau menyesuaikan (accommodate) idea yang sedia ada. Kegagalan mempelajari idea baru akan menyebabkan pelajar mengekalkan idea sedia ada, atau pelajar akan sesuaikan secara palsu (false accomodation) idea baru tersebut dan kekal dengan idea sedia ada.

Pembelajaran dilihat sebagai pengubahan idea, pembinaan dan penerimaan idea baru, penstrukturan semula idea sedia ada



Rosezlan. Definisi,Ciri, Prinsip dan Amalan Teori Konstruktivis. [online]. Diperoleh
http://www.scribd.com/doc/414320/Konstruktivisme (2010,30 Ogos)

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVIS LEV VYGOTSKY

Konstruktivisme yang mempunyai pengaruh besar pada tahun 1930 telah menyebabkan Vygotsky yang bekerja sebagai ahli Psikologi Rusia sangat tertarik pada kesan interaksi pelajar dengan teman sekelas pada pelajaran.

Jaramillo (1996) menjelaskan, Vygotsky mencatat bahwa interaksi individu dengan orang lain berlangsung pada situasi sosial. Vygotsky percaya bahwa subjek yang dipelajari berpengaruh pada proses belajar dan mengakui bahwa tiap-tiap disiplin ilmu mempunyai metode pembelajaran tersendiri. Vygotsky adalah seorang guru yang tertarik untuk merekabentuk kurikulum sebagai fasilitator dalam interaksi pelajar. Mengikut pandangan konstruktivis pelajar membina atau membentuk idea baru dan bukan menerima idea tersebut dan pelajar menjana secara aktif makna daripada setiap satu pengalaman yang dilalu. Tokoh-tokoh konstruktivisme melihat pembelajaran sebagai pembinaan mental. Pelajar belajar mencantum maklumat baru dengan maklumat lepas yang diketahui.

Building knowledge: constructivism in learning

KONSEP TEORI KONSTRUKTIVIS

Konsep teori konstruktivis menurut Vygotsky, pemikiran, bahasa dan proses penaakulan berkembang melalui interaksi sosial. Perkembangan kognitif individu berlaku dalam dua peringkat iaitu peringkat sosial dan peringkat individu.

Peringkat sosial ialah maklumat atau pengetahuan diperolehi melalui interaksi individu dengan individu lain yang ada di persekitaran manakala peringkat individu pula kebolehan individu menukar maklumat dan pengetahuan yang diperolehi daripada interaksi sosial kepada kefahaman peribadi.

CIRI-CIRI PEMBELAJARAN SECARA KONSTUKTIVISME

Berdasarkan maklumat yang diperoleh dalam laman sesawang www.scribd.com menyatakan ciri yang terdapat dalam teori ini ialah memberi peluang kepada murid membina pengetahuan baru melalui penglibatan dalam dunia sebenar, menggalakkan soalan dan idea yang dimulakan oleh murid dan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran.

Selain itu, menyokong pembelajaran secara koperatif dengan mengambilkira sikap dan pembawaan murid serta dapatan kajian bagaimana murid belajar sesuatu idea dengan menggalakkan daya usaha autonomi murid. Seterusnya, menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan guru dan menganggap pembelajaran sebagai suatu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran Akhir sekali, menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen


FAKTOR-FAKTOR DALAM TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVIS

Dua faktor utama dalam perkembangan kognitif kanak-kanak menurut Lev Vygotsky ialah interaksi sosial dan kemahiran berbahasa. Menurut Vygotsky, pemikiran kanak-kanak berkembang akibat dari pergaulan dengan orang lain. Pergaulan dan interaksi yang bermakna ini selalunya berlaku antara kanak-kanak dengan individu yang lebih berpengetahuan darinya. Kanak-kanak mengikut Vygotsky belajar dari apa yang dipraktikkan.

Bagi Vygotsky, kanak-kanak tidak dapat membina pengetahuannya sendiri tentang persekitaran. Ia harus dibina melalui interaksi sosial dengan individu-individu yang berada di persekitarannya seperti ibu bapa, guru, adik beradik, keluarga terdekat dan rakan sebaya. Individu-individu ini akan bertindak memberi arahan, maklum balas dan membimbing komunikasi kanak-kanak. Kanak-kanak kemudiannya akan menggunakan maklumat-maklumat ini di dalam interaksi-interaksi yang lain iaitu mungkin semasa bermain atau apabila berdepan dengan situasi yang hampir sama di masa akan datang.

KONSEP PERANCAH (SCAFFOLDING) LEV VYGOTSKY

Mengikut Haliza Hamzah dan Joy N.Samuel (2010), konsep ini merujuk kepada bimbingan yang diberi oleh seorang dewasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui soalan-soalan dan interaksi yang bersifat positif.

Bimbingan diberikan kepada pelajar dalam mempelajari kemahiran baharu, namun bimbingan yang diberi dikurangkan sehingga pelajar boleh menguasai sesuatu kemahiran. Perbualan dan interaksi adalah alat yang penting semasa proses perancah. Perbualan akan membantu pelajar menyusun konsep-konsep baharu secara lebih sistematik.

Secara khusus Vygotsky mengemukakan bahawa disamping guru, rakan sebaya juga memberi pengaruh penting pada perkembangan kognitif anak berlawanan dengan pembelajaran lewat penemuan individu (individual discovery learning), kerja kelompok secara kooperatif ( cooperative groupwork) yang mempercepat perkembangan kanak-kanak.




Haliza Hamzah, Joy N. Samuel. (2010). Perkembangan Kanak-Kanak. Cetakan Ketiga. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

VYGOTSKY'S DEVELOPMENTAL THEORY: AN INTRODUCTION ( DAVIDSON FILMS )

ZONE PERKEMBANGAN PROKSIMAL (ZPD)






Dalam laman sesawang PISMP Cohort Math 5 IPG Kampus Bahasa-bahasa Antarabangsa menyatakan meskipun pada akhirnya anak-anak akan mempelajari sendiri beberapa konsep melalui pengalaman sehari-hari, Vygotsky percaya bahwa anak akan jauh lebih berkembang jika berinteraksi dengan orang lain. Anak-anak tidak akan pernah mengembangkan pemikiran operasional formal tanpa bantuan orang lain.Pada pandangan yang lain, Vygotsky mencari pengertian bagaimana anak-anak berkembang dengan melalui proses belajar, dimana fungsi-fungsi kognitif belum matang, tetapi masih dalam proses pematangan. Vygotsky membezakan antara perkembangan sebenar dan perkembangan potensi pada anak. Perkembangan sebenar ditentukan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu tanpa bantuan orang dewasa atau guru. Sedangkan perkembangan potensi membezakan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu, menyelesaikankan masalah dengan bantuan orang dewasa atau kerjasama dengan teman sebaya.

Menurut teori Vygotsky, Zon Perkembangan Proksimal merupakan pembahagian antara perkembangan sebenar dan perkembangan potensi, dimana antara apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu tanpa bantuan orang dewasa dan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu dengan arahan orang dewasa atau kerjasama dengan teman sebaya.

KEPENTINGAN PEMIKIRAN VYGOTSKY KEPADA PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Kepentingan pemikiran Vygotsky menyatakan bahawa telah membuat kajian bahawa persekitaran, budaya dan kebolehan berkomunikasi secara interpersonal banyak membantu perkembangan dan interaksi kanak-kanak. Melalui interaksi kanak-kanak dapat mempelajari pelbagai budaya, gaya pertuturan, penulisan dan pelbagai simbol pengetahuan. Ini dapat membantu kanak-kanak supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan mindanya supaya lebih kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama kanak-kanak itu akan dapat memberi makna yang abstrak dan membolehkannya meningkatkan kemahiran berfikir lebih kreatif dan kritis.

Bermain juga dapat mempertingkatkan kebolehan sosialiasi kanak-kanak. Semasa bermain kanak-kanak boleh memahami antara seorang individu dengan seorang individu dari segi kebolehan mewujudkan kemahiran-kemahiran komunikasi seperti, membina hubungan, memberi perhatian, kemahiran mendengar dan interpersonal dan intrapersonal. Boleh memahami peraturan-peraturan sesuatu permainan dengan ini ia akan menjadi seorang kanak-kanak yang sentiasa hormat kepada rakannya.

Vygotsky juga telah menekankan bahawa kanak-kanak menjadi lebih konstruktif. Dalam konteks pembelajaran konstruktivisme ianya bermaksud bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud diluar minda tetapi dapat dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Menurut Vygotsky Zon Perkembangan Proksimal (ZPD) bermaksud prestasi pelajar, kebolehan menyelesaikan masalah melebihi kebolehan diri sendiri dan dengan ini mencapai perkembangan peringkat potensi yang berbeza. Di samping proses kognitif, teori konstruktivisme pula menegaskan perkembangan proses metakognitif, iaitu operasi yang mengarahkan dan mengawal kemahiran serta proses kognitif. Ia melibatkan operasi membimbing kanak-kanak untuk mencari makna terutamanya operasi merancang, mengarah dan menilai pemikirannya.

IMPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KEPADA PENGAJARAN

Mengikut Noriati, Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), antara implikasi teori konstruktivisme ini kepada proses pengajaran ialah guru hendaklah bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teliti serta mengambil kira segala aspek yang berkaitan dengan keupayaan murid. Hal ini adalah kerana segala pembelajaran yang dilakukan adalah lebih berpusat kepada murid di mana murid belajar melalui segala proses membuat atau beraktiviti yang dijalankan oleh guru semasa di dalam kelas. Jadi, hal-hal yang berkaitan dengan keupayaan murid adalah sangat ditekankan kerana sekiranya hampir kesemua murid di dalam sesuatu kelas itu tidak mampu menguasai sesuatu proses pembelajaran, maka, proses pembelajaran yang dilakukan oleh guru itu adalah tidak berjaya sama sekali.

Selain itu, implikasi lain bagi teori konstruktivisme ini ialah guru haruslah dapat mengenal pasti Zon Perkembangan terdekat ( ZPD ) atau juga dikenali sebagai Zon Perkembangan Proksimal dalam diri murid-murid berdasarkan beberapa aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Hal ini bertujuan untuk mengetahui tahap murid tersebut sama ada berada di zon bawah ataupun zon atas. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru mencari pendekatan yang bersesuaian untuk membantu murid menguasai sesuatu sesi pembelajaran.

Menjadi tanggungjawab guru-guru juga untuk memilih beberapa orang murid yang lebih berkemahiran untuk mengajar murid lain yang belum lagi menguasai sesuatu proses pembelajaran. Bantuan daripada rakan-rakan yang lebih mahir adalah sangat membantu kerana berkemungkinan besar murid yang tidak mahir itu lebih selesa diajarkan oleh rakan-rakan yang lebih dikenali dan mesra. Kanak-kanak juga sebenarnya adalah lebih mudah memahami sesuatu perkara itu apabila dibimbing oleh rakan sebaya mereka jika dibandingkan dengan guru.

Di samping itu, implikasi bagi teori ini juga ialah guru haruslah menyediakan lebih banyak contoh dan bahan sumber yang boleh digunakan untuk membantu murid membuat perkaitan dengan isi pelajaran yang dipelajari. Hal ini secara tidak langsung akan membantu murid-murid tersebut membina pemahaman baharu yang belum lagi diketahui atau dikuasai oleh mereka. Lebih banyak contoh dan bahan sumber ditunjukkan kepada murid-murid, lebih banyak pengetahuan dapat dikuasai oleh seseorang murid itu.

Guru juga seharusnya mengaitkan isi pelajaran yang diajarkan kepada murid dengan situasi sebenar. Apabila sesuatu isi pelajaran itu dikaitkan dengan situasi sebenar, murid secara tidak langsung akan lebih memahami sesi pengajaran yang disampaikan oleh guru. Jadi, tugasan autentik yang berasaskan masalah alam nyata, pengalaman berasaskan konteks sebenar, aktiviti simulasi dan sebagainya bolehlah dijalankan oleh guru ketika di dalam kelas.

Seterusnya,gerak kerja kumpulan dan perbincangan kumpulan merupakan salah satu strategi yang baik sekali bagi mewujudkan interaksi yang berkualiti dalam kalangan murid-murid. Melalui aktiviti perbincangan dalam kumpulan, murid secara tidak langsung dapat berkongsi idea, mendapat pemahaman yang lebih jelas daripada rakan-rakan yang lebih mahir serta dapat meluahkan buah fikiran mereka. Perbincangan dalam kumpulan juga dapat mewujudkan hubungan yang erat dalam kalangan murid-murid kerana setiap murid berpeluang memberikan idea serta pandangan masing-masing.

Implikasi teori ini yang terakhir sekali ialah guru haruslah sentiasa memberikan penerangan yang jelas kepada murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penerangan yang jelas ini adalah sangat penting kepada murid-murid kerana tanpa penerangan yang jelas, murid berkemungkinan akan menyalahtafsir arahan atau kehendak guru. Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan sesi pengajaran tidak berjalan dengan lancar. Maka, penerangan guru haruslah jelas, selaras dengan pemikiran dan laras bahasa murid. Guru juga adalah digalakkan sama sekali untuk menyertakan pelbagai contoh ketika sesi perbincangan bersama murid.


IMPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KOGNITIF KEPADA KANAK-KANAK KEPERLUAN KHAS.

Implikasi teori konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kanak-kanak berkeperluan khas pula dinyatakan dalam blog Chenon dan Blogspot (2008) iaitu guru perlulah membina suasana P&P yang mampu membina pengetahuan murid-murid. Guru perlu memastikan suasana yang dibina tidak merencatkan pengetahuan mereka. Sebagai contohnya, seorang kanak-kanak yang mengalami ‘mental retardation’ tahap ringan dan boleh dididik tidak seharusnya dibiarkan berada di dalam kelas yang menempatkan kanak-kanak ‘mental retardation’ sederhana. Hal ini kerana, kanak-kanak ‘mental retardation’ tahap ringan tersebut akan menerima kesan negatif terhadap perkembangannya. Sepatutnya, kanak-kanak tersebut perlu ditempatkan di kelas yang mampu meningkatkan daya pemikirannya.

Selain daripada itu juga, guru perlu merancang dan melaksanakan strategi-strategi pengajaran seperti soalan terbuka dan dialog bersama murid-murid. Kaedah ini secara tidak langsung akan membantu peningkatan tahap komunikasi murid tersebut. Komunikasi merupakan item terpenting dalam membina kemahiran menganalisis, mentafsir dan meramal maklumat. Contohnya, semasa set induksi sesi P&P guru bertanyakan khabar dan mengenai hobi seorang kanak-kanak autisme sebelum memulakan pembelajaran bertemakan hobi pada hari tersebut. Selain daripada itu juga, guru boleh menggunakan kaedah dialog bersama rakan sekelas untuk membantu kanak-kanak khas meningkatkan tahap interpersonal. Perancangan guru yang sistematik dan fleksibel boleh digunakan oleh guru tersebut dalam menagani pelbagai karenah murid.

Implikasi seterusnya adalah guru haruslah menggunakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) sebagai untuk menganalisis perkembangan dan kemajuan murid daripada semasa ke semasa. Seperti yang diketahui umum, kanak-kanak khas tidak mengambil peperiksaan umum kecuali mereka yang mengikuti kelas inklusif dengan kelas normal. RPI yang digunakan merupakan kolaborasi pelbagai disiplin. Jadi, perkembangan dan kemajuan yang dianalisis merupakan peningkatan dari pelbagai aspek. Contohnya, jika seorang murid yang mengalami masalah tingkah laku, perubahannya diperhatikan oleh semua pihak yang terlibat dan terapi diberikan dari pelbagai aspek. Keadaan dan perkembangannya dicatat daripada semasa ke semasa. Perkara yang menjadi fokus keutamaan adalah proses perubahannya, bukanlah hasil terakhir. Hal ini kerana setiap individu mempunyai kebolehan dan kelemahan yang pelbagai.

ANALISIS TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVIS MENGGUNAKAN TEKNIK SWOT

Analisis SWOT merupakan singkatan bahasa Inggeris daripada strenghts, weakness, opportunities, dan threats adalah kaedah perancangan strategik yang digunakan untuk menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam suatu projek. Teknik ini dibuat oleh Albert Humphrey yang mengetuai projek penyelidikan di Universiti Stanford pada dekad 1960-an dan 1970-an dengan menggunakan data dari syarikat-syarikat Fortune 500.

Teknik SWOT telah digunakan bagi menganalisis Teori Pembelajaran Konstruktivis. Antara Strength atau kelebihan kaedah pengajaran konstruktivisme, pertama adalah, guru merupakan penolong, pemudahcara dan perancang. Guru hanya berperanan menyampaikan teori pengajaran dan menghubungkait dengan pengalaman murid untuk pemahaman. Guru memilih idea yang terdekat dengan prinsip yang hendak diajar kepada murid. Ini bermakna, pelajar memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Mereka melibatkan diri secara langsung dengan penyelesaian masalah yang dilaksanakan dalam kelas. Kelebihan kedua yang terdapat di dalam teori ini ialah nilai koperatif dan kolaboratif diterapkan di dalam diri murid-murid. Murid diminta bekerjasama dalam kumpulan untuk memberikan hipotesis mereka sendiri berkaitan dengan sesuatu topik pelajaran yang dipelajari (boleh menentukan miskonsepsi). Kaedah ini adalah sangat bagus kerana boleh memotivasikan pelajar, membimbing, dan menggalakkan pelajar melibatkan secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, teori konstruktivisme ini juga tidak menggunakan kaedah atau teknik tradisional seperti, syarahan, menghafal dan mengingat. Murid mendapat ilmu pengetahuan berdasarkan pengalaman yang dibina di dalam minda mereka bukannya yang wujud luar daripada minda mereka. Aktiviti yang dilaksanakan dan alat bantu mengajar yang menarik serta pelbagai juga akan membuatkan murid mudah faham dan berasa lebih seronok ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Keempat, peningkatan penguasaan teknik lisan dan bukan lisan dalam diri murid-murid. Dalam teori ini, guru hanya membentangkan teori dan pelajar akan mengadaptasinya sendiri berdasarkan pengalaman sendiri. Manakala aktiviti dalam kelas memperkukuhkan lagi pemahaman murid tersebut. Hal ini bermakna, guru dan murid menggunakan kaedah timbal balik, di mana penggunaan serta penguasaan teknik lisan dan bukan lisan diaplikasikan.

Selain daripada kelebihan, kaedah pengajaran konstruktivisme turut mempunyai kelemahannya atau Weakness yang tersendiri. Antara kelemahan yang dapat dikesan adalah, menjadi penghalang kepada kefahaman konsep dalam pembelajaran kerana tidak selaras dengan pandangan saintifik. Oleh yang demikian ia menimbulkan kesusahan kepada murid untuk mengasimilasikan dan menyusun idea saintifik baru. Menurut Mok Soon Sang (2006), kelemahan seterusnya adalah, ketidaksediaan murid untuk merancang strategi, berfikir dan menilai sendiri teori pengajaran berdasarkan pengalaman sendiri. Tidak semua murid mempunyai pengalaman yang sama atau menepati apa yang akan diajar oleh guru. Masalah ini, kadang kala menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak berkesan. Guru sedar bahawa idea-idea sedia perlu diubahsuai, diperkembangkan atau diganti dengan idea yang lebih saintifik oleh murid. Perkara inilah yang kadang-kadang tidak difahami oleh murid. Tambahan pula, murid terpaksa mengenalpasti idea-idea alternatif dan memeriksa secara kritis idea-idea sedia ada sebelum mereka memahaminya.

Cara mengatasi kekurangan dalam teori konsruktivis iiatu peluang atau opportunity ialah melalui peranan murid dan guru. Murid perlu mengambil insiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu kemudian secara individu murid akan menbuat analisis dan menjawab soalan-soalan itu. Mereka perlu bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan berusaha untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, murid selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka.Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka.Jika murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan mendengar idea orang lain,murid tersebut dapat membina proses pengetahuan yang mereka faham. Di samping itu, murid perlu mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan. Bagi mengatasi kelompongan teori ini, murid perlu menggunakan data dan bahan-bahan fizikal,manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan. Hal ini bagi mengalakkan murid untuk membina pengetahuan
Seterusnya, peranan guru sebagai agen menggalakkan murid menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka. Guru perlu bertindak menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid. Pendidik perlu membantu murid menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan mereka melalui mentafsir pembelajaran melalui aktiviti harian dikelas, bukan hanya dalam bentuk ujian bertulis. Guru perlu juga menggalakkan murid membuat tugasan dan berbentuk penyelesaian,menganalisis, meramal,meneroka dan membuat hipotesis serta menggalakkan murid menerangkan lebih lanjut jawapan mereka disamping menggalakkan penemuan oleh murid melalui pertanyaan soalan bercapah dan menggalakkan menyoal murid yang lain. Akhir sekali, guru perlu memberi masa yang secukupnya kepada murid untuk mebuat perkaitan antara idea-idea yang telah dijana bagi mengalakkan pembelajaran koperatif dalam menjalankan tugasan. tertentu.

Teori ini memperlihatkan beberapa ancaman atau threat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah melalui cabaran guru konstruktivisme iaitu guru merasakan mereka tidak mengajar. Ini kerana pembelajaran konstruktivis menekankan pembelajaran berpusatkan murid iaitu murid aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, amalan yang dimajukan dalam pembelajaran secara konstruktivis dianggap tidak realistik. Ini kerana kurikulum yang dibina melihatkan peranan murid dan guru saling memberikan maklum balas dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.Guru juga merasakan penerangan mereka tidak penting lagi. Oleh itu, guru hanya bertindak sebagai agen pemerhati yang hanya akan membantu apabila murid memerlukan sokongan bantuan daripada pihak lain dalam mebina konsep-konsep baru. Di samping itu,kawalan kelas agak merosot. Hal ini kerana semua murid bergerak secara aktif dalam membina pengetahuan mereka sendiri. Pergerakan murid menyebabkan suasanakelas dalam kawalan tidak terkawal. Seterusnya, guru yang sedang menukar cara pengajaran kepada pendekatan konstruktivisme memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak sekolah.

KESIMPULAN


MEMORI:LEV VGTSKY


BERSAMA ANAK PEREMPUANNYA
BERSAMA KELUARGA
Teori Vgotsky menekankan pada pembelajaran sosiokultural. Inti dari teori Vygotsky iaitu penekanan pada interaksi pembelajaran antara aspek internal dan aspek eksternal pada lingkungan sosial. Menurut teori Vygotsky, fungsi kognitif berasal dari interaksi sosial masing-masing individu dalam konsep budaya.

Zon perkembangan proximal ( ZPD ) ialah istilah Vygotsky untuk tugas-tugas yang terlalu sulit untuk dikuasai sendiri oleh anak-anak, tetapi yang dapat dikuasai dengan bimbingan dan bantuan dari orang-orang dewasa atau anak-anak yang lebih terampil. Teori kontrukivis sosial dibangun berdasarkan pengembangan yang dibuat oleh Lev Vygotsky. Vygotsky menekankan pada lingkungan sosial yang ikut membantu perkembangan seorang anak. Bagi Vygotsky, budaya sangat berpengaruh sekali dalam membentuk strutur kognitif anak. Yang membantu perkembangan anak bukan hanya guru, tetapi jaga anak-anak yang lebih dewasa. Vygotsky mengemukakan konsep mengenai Zon Perkembangan Proksimal

Terdapat empat prinsip dasar dalam penerapan teori Vygotsky iaitu belajar dan berkembang adalah aktiviti sosial dan kolaboratif, seorang yang lebih dewasa dapat menjadi pemandu dalam menyusun kurikulum dan pelajaran , pembelajaran disekolah harus dalam konteks yang bermakna, tidak boleh dipisahkan dari pengetahuan anak-anak yang dibangun dalam dunia nyata mereka dan pengalaman anak diluar sekolah harus dihubungkan dengan pengalaman mereka di sekolah

RUJUKAN

Choong Lean Keow (2008). Murid dan Alam Belajar. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Haliza Hamzah, Joy N. Samuel. (2010). Perkembangan Kanak-Kanak. Cetakan Ketiga. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Noriati A.Rashid. Boon Poon Ying. Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Oxford Fajar. Selangor

Ami Sakura. Sejarah Teori Konstruktivis. Diperoleh http://www.scribd.com/doc/19784811/konstruktivisme (2010,7 Ogos)

Rosezlan. Definisi,Ciri, Prinsip dan Amalan Teori Konstruktivis. [online]. Diperoleh
http://www.scribd.com/doc/414320/Konstruktivisme (2010,7 Ogos)

Definisi konstruktivis.[online] Diperoleh daripada http://www.scribd.com/doc/10331287/konstruktivisme (2010,7 Ogos)